Skuad bola keranjang negara berdepan misi hidup mati dalam perlawanan terakhir Kumpulan B, Sukan SEA Filipina tatkala mereka harus menang menentang Thailand untuk mara ke separuh akhir.

Malaysia mempamerkan aksi cemerlang sewaktu menewaskan Kemboja 100-64 dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan, sekali gus menebus maruah tewas di tangan Indonesia ketika perlawanan pertama.

Kini, skuad bimbingan Brian Lester itu mempunyai misi hidup mati menentang Thailand untuk mara ke separuh akhir dan pengendali itu optimis Malaysia mempunyai kelebihan sendiri untuk mengatasi lawan.

"Kami memiliki pasukan mampu melakukan jaringan. Ketika kami mendapat rentak, sukar untuk lawan menghalang mutu permainan pasukan dan kami sudah bersedia menghadapi perlawanan esok," katanya.

Dalam masa sama, pemain negara, Wong Yi Hou, yang mengutip mata terbanyak buat Malaysia ketika menentang Kemboja berharap momentum kemenangan mampu diteruskan rakan sepasukannya.

"Kami cuba memberikan tumpuan sepanjang permainan dan menyedari kemampuan Thailand. Perkara paling penting adalah menampilkan aksi yang lebih baik berbanding hari ini," katanya.