Atlet snuker negara, Moh Keen Ho, tidak gentar menjadi wakil tunggal Malaysia untuk mengibarkan cabaran dalam acara beregu lelaki bersama gandingan baru biarpun menyedari lawan di peringkat separuh akhir mempunyai reputasi sebagai pemenang pingat emas edisi Kuala Lumpur 2017.

Atlet berusia 33 tahun itu, yang akan bergandingan bersama Lim Kok Leong, menjadi wakil tunggal negara untuk meneruskan cabaran ke peringkat suku akhir bagi acara snuker setelah satu persatu harapan negara kecundang.

Keen Ho, yang mula membuat penampilan dalam Sukan SEA Hanoi 2003, sedar cabaran lebih getir bagi melepasi ke peringkat separuh akhir apabila dijadualkan bertemu pemain berpengalaman dari Laos, Siththideth Sakbieng, yang merupakan juara bertahan acara individu dan bakal bergandingan dengan Suriya Minalavong -- pemenang pingat gangsa edisi yang sama.

Sebelum itu, beregu negara itu mudah menundukkan gandingan Vietnam, Mau Tram dan Kieu Thien Koi, 3-0.

"Kami boleh menang. Mereka hanya menang di peringkat individu manakala dalam temasya yang lalu kami memenangi gangsa dalam acara beregu lelaki.

"Kami perlu berwaspada. Lagipun ini kali pertama Kok Leong menyertai Sukan SEA dan acara beregu adalah berbeza.

"Kami akan berbincang sebelum turun beraksi," kata Keen Ho.

Namun, Keen Ho menganggap reputasi yang dimiliki seteru mereka itu tidak membawa sebarang kelebihan psikologi menjelang saingan separuh akhir yang bakal bersambung esok.

"Negara mereka agak kurang bermain snuker, mereka lebih kepada karom dan pool," tambahnya.

Sementara itu, aksi membabitkan satu lagi wakil Malaysia, Mohd Reza Hassan dan Loh Chung Leong, berakhir dengan kekecewaan apabila gandingan negara itu tersingkir dalam pusingan kedua.

Lawan mereka dari Indonesia, Yoni Rachmanto dan Gebby Putra, mempamerkan prestasi tekal untuk mengungguli permainan apabila menunjukkan jalan keluar kepada mereka dengan keputusan 3-0.

Aksi dalam acara pool 10 bola individu wanita pula menyaksikan wakil Malaysia, Lim Siew Boon, juga terkandas awal.

Menentang pemain Thailand, Sukritthanes Waratthanun, atlet berusia 19 tahun berkenaan yang membuat penampilan sulungnya dalam Sukan SEA itu cuba memberikan tentangan sengit.

Bagaimanapun, ia tetap sukar dengan lawannya itu mudah mengejar mata dan akhirnya menyaksikan Siew Boon berputih mata apabila tewas 6-7 selepas bertarung hampir dua jam di gelanggang.