Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, mengorbankan aspirasi peribadi untuk layak ke Kejohanan Final Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) di Guangzhou, China dari 11 hingga 15 Disember depan, termasuk menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia musim ini demi pingat emas Sukan SEA Filipina 2019.

Faktor kesihatan menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu terpaksa menarik diri daripada Terbuka Hong Kong ketika ini.

Pendekatan taktikal hasil perbincangan bersama dengan barisan kejurulatihan, menyaksikan dia bakal melupakan Kejohanan Masters Gwangju di Korea Selatan minggu depan.

Ketiadaan mata ranking dunia berharga daripada dua kejohanan berkenaan bakal menyaksikan Zii Jia terpaksa pasrah untuk kekal di luar kelompok 10 pemain terbaik dunia sehingga musim 2020 membuka tirai.

"Saya berkemungkinan besar berdepan kesukaran dalam Kejohanan Masters Gwangju, jadi lebih baik saya tarik diri untuk membuat persiapan menghadapi Sukan SEA.

"Sukan SEA adalah sangat penting buat BAM dan negara, jadi saya selari dengan keputusan jurulatih," katanya dalam latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Sekalipun kecewa, pemain yang terkandas kepada Kento Momota dalam suku akhir Kejohanan Dunia, Ogos lalu itu, akur ada misi yang lebih penting, termasuk kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 berbanding kemahuan peribadi.

Selepas temasya dwitahunan di Filipina itu, perseorangan tinggi lampai berkenaan akan beraksi dalam tiga kejohanan pada Januari 2020.

"Bagi saya, ia bukan satu kekecewaan kerana saya masih berpeluang untuk menduduki kelompok 10 pemain terbaik dunia pada hujung tahun ini.

"Perkara seperti ini adalah di luar jangka, lagipun masih banyak kejohanan yang boleh disertai pada tahun depan.

"Saya tidak mahu fikir terlalu banyak sambil berharap dapat pulih dan memberi tumpuan kepada Sukan SEA.

"Selepas itu, saya perlu membuat persiapan dengan baik kerana bermula Januari, saya mungkin akan menghadapi tiga kejohanan."

Untuk rekod, Zii Jia memulakan musim 2019 di ranking ke-28 dunia, kemudian melonjak ke 16 dunia bulan lalu dan terkini, menduduki ranking ke-11 dunia dan antara kejayaannya ialah melangkah ke separuh akhir Terbuka Thailand.