Badminton: Zii Jia kekal sandaran utama di Manila -- Choong Hann

Oleh Staff Writer 8 November 2019 219
Badminton: Zii Jia kekal sandaran utama di Manila -- Choong Hann
"Tidak serius dan masih sandaran utama di Manila nanti", itu jaminan diberikan Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mengenai perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, yang dilaporkan mengalami keracunan makanan ketika bersaing dalam Terbuka China.

Kurang sebulan sebelum berlangsungnya Sukan SEA Filipina, Zii Jia terpaksa menarik diri ketika menentang jaguh Jepun, Kento Momota, dalam pusingan kedua Terbuka China semalam setelah mengadu tidak selesa di bahagian perut selain turut mengalami demam.

Punca sebenar masih belum dapat dikenal pasti, namun pemain kelahiran Kedah itu telah pun dibawa untuk rawatan lanjut dan Choong Hann menegaskan pemain itu masih akan meneruskan penyertaan dalamTerbuka Hong Kong minggu depan.

"Saya berasakan keracunan makanan yang dialami Zii Jia tidak serius dan dia dijangka akan kembali pulih untuk beraksi dalam Sukan SEA," katanya.

Dalam masa sama, Choong Hann tampil mendedahkan pemain yang akan mengiringi Zii Jia beraksi dalam saingan individu di Manila, iaitu Soong Joo Ven.

Bagaimanapun, barisan pemain yang akan diturunkan bagi acara berpasukan masih dirahsiakan, bergantung kepada situasi semasa.

"Acara berpasukan bakal ditentukan berdasarkan mutu permainan setiap pemain di Manila. Tahap kecergasan turut menjadi keutamaan ketika saingan sudah bermula nanti."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen