Pemain paling veteran dalam skuad badminton negara, Vivian Hoo, sedia menggalas peranan besar dalam kembali mengharumkan reputasi beregu wanita biarpun dia dilabel sebagai "kuda tua".

Dia pernah mengecapi pelbagai kilauan warna pingat di pentas Sukan SEA dengan yang paling cemerlang meraih emas untuk dua edisi berturut-turut di Myanmar 2013 dan Singapura 2015 bersama Woon Khe Wei.

Pada usia 29 tahun, dia melihat saingan di Filipina sebagai peluang terakhirnya untuk berbakti dalam temasya dwitahunan itu dengan membawa misi serampang dua mata, membimbing pasangannya, Yap Cheng Wen, yang baru kali pertama beraksi di pentas itu serta merangkul pingat buat kali terakhir.

Namun, senario kini berubah dengan barisan beregu wanita negara tampak bergelut tatkala pesaing dari Thailand dan Indonesia semakin ke depan dengan pencapaian memberangsangkan di pentas antarabangsa.

"Saya rasa Sukan SEA kali ini berbeza kerana pasangan baru. Sebelum ini dalam empat edisi, saya berganding dengan Khe Wei. Ini juga penampilan pertama Cheng Wen. Saya harap dapat membimbingnya, menjadikan aksi pertama dalam kejohanan ini sesuatu yang bermakna," katanya.

Malaysia masih mempunyai harapan untuk memburu emas menerusi Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean yang merupakan gandingan nombor tiga terbaik di Asia Tenggara.

Hanya emas mampu menjulang kembali imej skuad beregu wanita negara yang suram tanpa sebarang gelaran tahun ini.

"Sudah tentu semua pemain mahu pingat tetapi kemenangan hanya ada satu. Tidak semua akan dapat tetapi kami akan lakukan yang terbaik. Dalam perlawanan, kami akan pertaruhkan segalanya yang dimiliki. Menang atau kalah, itu tidak banyak boleh diperkatakan," ujar Mei Kuan.

Sementara itu, pengganti Goh Jin Wei untuk perseorangan wanita negara, S. Kisona, sedar tanggungjawab yang dipikul sejurus dimaklumkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan jaguh remaja dunia itu yang terpaksa menarik diri kerana perlu menjalani pembedahan usus.

Di atas kertas, pemain berusia 21 tahun itu mungkin tidak setanding Jin Wei yang merupakan pemenang pingat emas dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Lebih perit, pencabar dari Thailand, Indonesia serta Singapura mempunyai wakil yang berada di ranking lebih baik berbanding pemain kelahiran Negeri Sembilan itu.

"Kami tidak sangka Jin Wei akan mengalami kecederaan sebegitu dan saya tidak tahu akan menggantikannya. Selepas jurulatih memberitahu, saya tidak berkecil hati, sebaliknya bersedia," ujar Kisona.

Ini merupakan penampilan pertama pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2018 itu di pentas Sukan SEA dan dia bakal mengiringi pemain utama, Soniia Cheah, serta seorang lagi pemain, Lee Ying Ying, untuk menggalas cabaran negara.

"Saya, hanya mahu lakukan yang terbaik untuk diri sendiri. Saya mahu bersedia dan cuba mendapatkan emas serta mempertahankan kejuaraan Jin Wei," tambahnya.