Skuad badminton lelaki negara sekadar meraih pingat perak dalam acara berpasukan apabila tewas 1-3 kepada Indonesia dalam penentuan pingat emas di Kompleks Sukan Muntinlupa, Manila sebentar tadi.

Turun selaku perseorangan utama negara, Lee Zii Jia, gagal menandingi kehebatan jaguh Indonesia, Jonatan Christie, untuk akur tewas mudah 9-21, 17-21.

"Saya memang agak tertekan dalam perlawanan ini dan kita tahu Jonatan bukannya lawan yang mudah.

"Dari awal dia sudah menguasai permainan, jadi dia menang mudah," kata Zii Jia.

Naib juara Kejohanan Seluruh England, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, seterusnya menghidupkan peluang skuad negara dengan menewaskan Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto 17–21, 13–21.

"Saya amat teruja untuk mendapatkan mata ini.

"Ia mata yang penting, jadi saya amat gembira," kata Wooi Yik.

"Kemenangan ini memberikan kami kepuasan.

"Kami bermain dengan baik dan merancang permainan dengan betul," tambah Aaron pula.

Soong Joo Ven, yang turun selaku perseorangan kedua, berupaya mengejutkan Anthony Ginting dalam set pertama, namun terpaksa akur kecundang 21-13, 15-21, 18-21.

"Saya amat sedih kerana tidak dapat memberikan mata buat pasukan.

"Daripada aspek kepantasan, dia memang baik," kata perseorangan negara itu.

Harapan yang diletakkan di bahu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi ternyata terlalu berat untuk dibawa menentang Wahyu Nayaka-Ade Yusuf dengan pasangan negara itu tewas 16-21, 19-21.

"Nampak macam kami boleh memberikan satu mata tetapi tidak berjaya.

"Kami minta maaf kepada semua," kata Ee Yi.