Siri Antarabangsa Sydney membuktikan kemampuan perseorangan wanita negara, S. Kisona, untuk memperkuatkan skuad kebangsaan dalam penampilan pertama di pentas Sukan SEA Filipina bulan depan.

Kemenangan berturut-turut diraih Kisona selepas menjuarai Terbuka Hellas, diikuti kejuaraan dalam kategori perseorangan di Sydney setelah mengalahkan wakil dari Jepun, Shiori Ebhara, 21-18, 21-13.

Ia seperti pembakar semangat buatnya selepas diletakkan sebagai sandaran utama bersama Soniia Cheah apabila pemenang pingat emas Sukan SEA 2017, Goh Jin Wei, terpaksa diketepikan daripada kontinjen negara selepas menjalani pembedahan.

Kisona akan berdepan saingan Cabaran Indonesia, bulan ini selain Cabaran Malaysia di Perlis awal bulan depan.

"Dalam setiap kejohanan, saya sentiasa menyasarkan untuk beraksi pada tahap terbaik dan lebih daripada separuh akhir. Ini bakal jadi Sukan SEA pertama saya," katanya.

Sementara itu, dia dan rakan sepasukan, Lee Ying Ying, berharap Jin Wei segera pulih daripada pembedahan, seterusnya kembali beraksi dalam gelanggang.

"Saya rasa dalam tempoh dua bulan, ia agak perlahan kerana Jin Wei perlu melalui proses pemulihan tetapi kelihatan dia mampu kembali dalam tempoh tiga atau empat bulan serta mula menjalani latihan ringan," tambah Kisona.