Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, semakin runsing setelah memberi bayangan bahawa Goh Jin Wei tidak akan mempertahankan pingat emas Sukan SEA Filipina 2019, November depan.

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menaruh keyakinan untuk menyenaraikan pemenang emas edisi tahun lalu itu dalam temasya Filipina 2019 biarpun pemain berumur 19 tahun itu sudah tidak menyertai sebarang kejohanan sejak Jun lalu ekoran mengalami komplikasi di bahagian perut.

Dengan kurang 80 hari lagi temasya dwitahunan itu berlangsung, Seu Bock mengakui pemain berkenaan mungkin tidak akan beraksi, secara tidak langsung memeningkan lagi kepalanya dalam mencari pengganti, khususnya bagi acara berpasukan.

Selain Soniia Cheah, dua pemain yang berada dalam senarai temasya serantau itu ialah Lee Ying Ying dan S. Kisona yang masing-masing di ranking ke-118 dan 160 dunia.

"(Khidmat) Jin Wei belum pasti lagi kerana kebelakangan ini dia ada (menunjukkan) perubahan.

"Saya belum boleh lagi mengatakan bahawa dia akan bermain dalam Sukan SEA.

"Mungkin Kisona (akan diketengahkan). Sesiapa sahaja yang menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga bulan ini (akan tersenarai)," katanya.

Sementara itu, tugas semakin berat buatnya yang menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih skuad Projek 2024 BAM apabila perlu berkerjasama dengan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) dalam usaha mendapatkan kelompok pemain yang lebih ramai dalam skuad perseorangan wanita.

"Kami sedar kami memerlukan ramai bilangan pemain untuk membentuk lebih ramai pilihan pemain lagi.

"Tetapi nama-nama yang akan tersenarai belum dimuktamadkan lagi."