Badminton: Joo Ven tekad perbaiki prestasi sebelum ke Manila

Oleh Staff Writer 19 November 2019 54
Badminton: Joo Ven tekad perbaiki prestasi sebelum ke Manila
Pemain perseorangan lelaki negara, Soong Joo Ven, perlu lebih fokus untuk menghadapi Sukan SEA Filipina bagi memastikan slot dalam skuad kebangsaan musim 2020.

Ia susulan tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang akan menjalankan penilaian prestasi pemain secara menyeluruh pada 31 Disember depan.

Kegagalan mempamerkan aksi terbaik menyaksikan pemain berusia 24 tahun itu disingkirkan wakil China, Lei Lan, dalam aksi pusingan kedua kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia, minggu lalu.

Justeru, dia sedar perlu pantas memperbaiki prestasi dan tidak boleh terlalu yakin status pemain kedua terbaik BAM mampu menyelamatkan kedudukannya.

"Saya akan buat yang terbaik dalam semua kejohanan. Jika mengikut ranking, Lee Zii Jia berada di kedudukan pertama tetapi saya fikir tidak kira saya dalam BAM atau tidak, saya tetap mewakili Malaysia dan menyarung jersi kebangsaan," katanya.

Pemain yang berada di ranking ke-46 dunia itu akan menggalas cabaran dalam acara berpasukan di Filipina dan dia bertekad memanfaatkan baki tempoh latihan untuk meningkatkan fokusnya sebelum ke Manila.

"Dalam aksi sebelum ini, saya banyak lakukan kesilapan. Jadi, saya harap dapat lebih fokus dalam kejohanan seterusnya."
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen