Beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, memastikan Malaysia menutup kempen badminton Sukan SEA Filipina dengan pingat emas ketiga selepas menewaskan pasangan veteran Thailand, Bodin Isara-Maneepong Jongjit, di Kompleks Sukan Muntinlupa, Metro Manila sebentar tadi.

Turun selaku pilihan kedua dan sandaran utama meraih emas, pasangan negara itu bersaing hebat dalam set pertama tetapi kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan menyaksikan mereka tewas 18-21.

Dalam set kedua, naib juara Kejohanan Seluruh England itu mempamerkan aksi hampir sempurna dengan Wooi Yik bijak mencari ruang manakala Aaron kerap memberikan mata dengan pukulan kencangnya.

Malaysia memenangi set kedua 21-15 sebelum mengulangi prestasi sama dalam set penentuan untuk menamatkan cabaran dengan kemenangan 21-16.

"Ini merupakan pencapaian yang memuaskan kerana meraih emas buat kali pertama selepas saya digandingkan bersama Aaron," kata Wooi Yik.

"Saya sangat gembira kerana meraih pingat emas ini. Tahun 2019 sudah tiba ke penghujungnya, kemenangan ini adalah persiapan terbaik untuk menghadapi musim akan datang," kata Aaron.

Terdahulu, perseorangan wanita negara, S. Kisona mencipta kejutan apabila menumbangkan pemain muda Indonesia, Ruselli Hartawan, dalam final.

Lee Zii Jia pula tidak berdepan masalah untuk menumbangkan pemain Singapura, Loh Kean Yew, untuk memenangi pingat emas acara perseorangan lelaki.

Bagaimanapun, beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada lawan dari Indonesia, Praveen Jordan-Melati Oktavianti.