Aaron-Wooi Yik sasar akhiri kemarau 16 tahun di Manila

Oleh Staff Writer 16 Ogos 2019 1538
Aaron-Wooi Yik sasar akhiri kemarau 16 tahun di Manila
Tanggungjawab mengakhiri kemarau 16 tahun pingat emas acara badminton beregu lelaki dalam Sukan SEA Filipina, November depan disandarkan kepada gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, yang bakal membuat penampilan pertama dalam temasya itu. 

Sebelum ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengambil langkah mengejutkan apabila menyenaraikan pemain baru untuk ke temasya dwitahunan itu.

Sejak digandingkan dua tahun lalu, pemain yang masing-masing berusia 22 dan 21 tahun itu masih belum memenangi sebarang gelaran juara.

Bagaimanapun, pemain beregu lelaki badminton negara, Wooi Yik, yang bakal membuat penampilan sulungnya dalam Sukan SEA di Manila, yakin pengalamannya bermain di pentas Piala Sudirman dan Piala Thomas mampu membantunya memberi aksi terbaik.

"Saya sangat gembira kerana dapat bersaing dalam Sukan SEA. Pengalaman dalam saingan Piala Sudirman dan Piala Thomas akan membantu kami," kata Wooi Yik.

Kali terakhir sukan badminton mampu meraih pingat emas melalui acara beregu lelaki adalah dalam Sukan SEA 2003 di Vietnam yang dimenangi gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah.

Sementara itu, pemain beregu campuran profesional negara, Goh Liu Ying, akur dengan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menidakkan penglibatan pemain profesional bagi saingan Sukan SEA.

Bagi pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu, ia akan menjadi pendedahan terbaik buat penampilan pertama kepada Aaron-Wooi Yik, sekali gus memberikan tempoh masa yang sesuai untuk menumpukan perhatian bagi melayakkan diri ke final Jelajah Dunia, Disember ini. 

"Kami akur dengan setiap keputusan BAM. Ia merupakan langkah terbaik buat beberapa pemain baru untuk meraih pengalaman dalam Sukan SEA nanti," kata Liu Ying.

Buat masa ini, Liu Ying berazam tampil lebih cemerlang dalam Kejohanan Badminton Dunia di Basel, sekali gus ingin menamatkan badi terkandas di peringkat awal dan suku akhir bagi edisi terdahulu.

Beregu campuran nombor satu negara itu mendapat laluan percuma dalam pusingan pertama dan dijangka bertemu satu lagi pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, dalam laluan ke suku akhir. 

"Kami saling mengetahui kemampuan masing-masing, namun perkara positif yang boleh diambil dalam pertembungan kami nanti adalah salah satu beregu negara dapat melangkah ke suku akhir."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen