Bekas pelumba Moto2 negara, Zulfahmi Khairuddin, berkata Hafizh Syahrin Abdullah perlu bekerja keras musim depan jika mahu merealisasikan hasratnya untuk kembali beraksi di pentas MotoGP.

Bagi Zulfahmi, pelumba berusia 25 tahun itu yang terpaksa kembali beraksi dalam kategori Moto2 belum menoktahkan kariernya untuk merebut semula slot ke MotoGP.

Apatah lagi, dengan semangatnya yang kental, Zulfahmi percaya ramai pihak, termasuk Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sedia membantu Hafizh.

"Slot untuk MotoGP tidak banyak, hanya 22 pelumba yang terpilih dan setiap tahun ia akan berubah.

"Turun ke Moto2 bukan petanda tidak baik dan ini merupakan peluang Hafizh membuktikan kemampuannya untuk kembali ke MotoGP bagi edisi 2021," katanya.