Toto Wolff melihat persamaan di antara Charles Leclerc dengan Lewis Hamilton ketika masih muda sambil menjangkakan pemandu baru Ferrari itu mampu mencabar mahkota Formula Satu (F1) tahun ini.

Selepas mengejutkan Sauber dalam kemunculan sulung musim lalu, Leclerc dipancing untuk menggantikan Kimi Raikkonen dan akan bergabung dengan Sebastian Vettel untuk mewakili pasukan Itali itu pada 2019.

Pemandu berusia 21 tahun itu segera mencetuskan impak ketika ujian pra-musim di Barcelona minggu ini apabila mencatat masa pusingan terpantas pada hari kedua, 24 jam selepas Vettel melakukan hal yang serupa.

Pemandu baru Ferrari itu pantas memikat hati Wolff dan prinsipal Mercedes itu membandingkan Leclerc dengan Hamilton ketika pemandu pasukan British berkenaan membuat kemunculan pertama lebih sedekad lalu.

Ditanya apakah Leclerc boleh menjadi ancaman kepada harapan juara bertahan itu untuk mengekalkan statusnya, Wolff menjawab: "Ya, tentu saja.

"Dia seperti Lewis ketika mula-mula terlibat dalam kancah F1, iaitu pada 2007. Saya tidak ragu-ragu lagi bahawa dia (Leclerc) akan bergerak pantas."

Mercedes juga memenangi gelaran pengeluar tahun lalu tetapi mutu Ferrari dalam sesi ujian memberikan petanda awal menjelang musim baru yang akan bermula dengan Grand Prix (GP) Australia pada 17 Mac ini.

Bagaimanapun, Wolff menegaskan kedua-dua pasukan -- serta seluruh grid F1 -- akan bertungkus-lumus untuk memperkasakan jentera mereka dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

"Mereka kelihatan sangat bagus dalam sesi ujian," kata Wolff mengenai prestasi Ferrari di Sepanyol.

"Semua orang akan menyorok kemampuan sebenar mereka dan hanya akan ditunjukkan di Barcelona atau Melbourne mahupun sepanjang musim ini.

"Anda tidak tahu berapa banyak kerana beban bahan api memberikan anda banyak pilihan."