Pelumba negara, Weiron Tan, mengorak langkah baru apabila mendedahkan dia kini dalam proses membina sebuah litar go-kart di Shah Alam.

Dia sedang dalam persiapan bagi menghadapi Kejohanan Siri 24 Jam Le Mans bersama dua lagi pelumba negara, Nabil Jeffri dan Jazeman Jaafar.

"Saya bersama Nabil dan Jazeman kini mengadakan latihan berpasukan bagi persediaan menghadapi perlumbaan di Fuji, Jepun.

"Selain itu, saya banyak menghabiskan masa menumpukan kepada pembinaan litar go-kart saya di Shah Alam," kata Weiron.

"Saya bersama tiga rakan kongsi sedang berusaha dalam pembinaan litar tersebut. ia terletak di Glenmerie dan hanya bersebelahan dengan Lebuh Raya Persekutuan," tambahnya dalam temu bual Nadi@1, hari ini.

Bercakap mengenai bagaimana dia menceburkan diri dalam bidang perlumbaan, Weiron menjelaskan dorongan keluarga banyak membantunya sehingga berjaya di tahap seperti hari ini.

"Ia bermula sebagai hobi, saya hanya berusia 13 tahun ketika ibu-bapa membawa saya ke sebuah litar go-kart di Shah Alam. Sejak daripada itu, saya mula terjebak.

"Bapa saya juga adalah seorang pelumba yang baik, namun dia tidak mendapat peluang sewaktu zamannya. Selepas itu segalanya adalah tentang kerja keras.

"Saya amat gembira dengan apa yang saya peroleh sekarang, namun ia bermula dengan sokongan keluarga.

"Ibu-bapa berusaha keras untuk membawa saya ke dalam industri ini. Ayah merupakan motivasi terbaik buat saya. Tanpanya, saya tidak mungkin berada di sini," ujar Weiron.