Pelumba negara, Md Zaqhwan Zaidi, berharap tuah jentera Honda CBR1000RR SP2 untuk melakar catatan masa yang lebih pantas dalam perlumbaan lasak Suzuka 8-Jam (S8H) 2019 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun, pada 25 hingga 28 Julai ini.

Pelumba pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa itu yang akan bergandingan dengan Andi Farid Izdihar dari Indonesia, mengakui pelarasan jentera ke tahap terbaik menjadi keutamaan pasukan berkenaan, bersesuaian dengan perlumbaan lasak itu yang melibatkan lapan jam perlumbaan.

“Daya tahan jentera serta kelajuan maksimum amat penting dan saya yakin kakitangan pasukan kami sudah bersedia untuk melakukan yang terbaik.

“Kami akan berusaha sebaik mungkin untuk melakukan yang terbaik dalam perlumbaan itu yang turut disertai beberapa pelumba lasak handalan dunia,” kata Md Zaqhwan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan promoter perlumbaan Cub Prix Malaysia, Two Wheels Motor Racing (TWMR) Sdn Bhd, hari ini.

Dalam edisi 2017, gandingan Md Zaqhwan, Andi Farid serta pelumba Australia, Tony Herfoss, menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dengan catatan masa 8 jam 05.666 saat.

Sejumlah 56 pasukan, termasuk beberapa pelumba dari benua Eropah, akan bersaing dalam S8H 2019.

-- BERNAMA