SIC terdesak cari pengganti Zulfahmi

Oleh Staff Writer 9 Mei 2018 280
SIC terdesak cari pengganti Zulfahmi
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, mengakui kesuntukan masa untuk mencari pengganti Zulfahmi Khairuddin yang berpisah daripada pasukan kendalian SIC itu bagi perlumbaan Moto2.

Selepas empat perlumbaan, jodoh Zulfahmi bersama pasukan SIC tidak berpanjangan ekoran faktor prestasi yang menjadi punca utama dia tidak meneruskan saingan selain kesukaran untuk menyesuaikan diri.

Untuk rekod, dia merupakan pengganti saat-saat akhir bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Hafizh Syahrin Abdullah untuk menyertai MotoGP.

Justeru, SIC kini perlu segera mencari pengganti Zulfahmi sebelum Grand Prix Perancis yang dijadualkan berlangsung pada 20 Mei ini.

Keutamaan sudah pasti diletakkan kepada pelumba tempatan, namun mereka kini terikat bersama pasukan lain, khususnya dalam saingan Kejohanan Motosikal Asia, tetapi sekiranya keadaan mendesak, mereka kemungkinan akan mengambil khidmat pelumba luar.

"Dalam pusingan keempat, kebanyakan pelumba dari Malaysia sudah mempunyai majikan dan agak sukar untuk mereka dilepaskan pasukan masing-masing. Jadi, kami masih menilai calon-calon yang ada dan jika tiada, kami terpaksa mengambil pelumba luar demi masa depan pasukan ini," katanya.

Mengulas mengenai masa depan Zulfahmi, Razlan menjelaskan dia masih kekal dengan tugas utamanya, iaitu sebagai mentor kepada program impian ke MotoGP yang dikendalikan oleh SIC.

Zulfahmi ketika ini berada di Barcelona untuk mempersiapkan beberapa pelumba daripada program berkenaan untuk siri perlumbaan kejohanan Eropah.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen