Pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) komited untuk mengembangkan karier pelumba kereta negara di pentas antarabangsa selepas melihat impak yang mampu dihadirkan oleh wakil tempatan.

Selepas melihat perkembangan positif pelumba motosikal, SIC juga mahu menaikkan kembali nama barisan pelumba kereta negara.

Justeru, antara langkah yang diambil adalah Malaysia buat julung kalinya akan melakukan penampilan dalam Siri Super Perlumbaan Ketahanan Dunia (WEC) musim 2018/2019.

Jazeman Jaafar, Muhammad Nabil Jan Al Jeffri, Afiq Ikhwan Mohamad Yazid dan Weiron Tan adalah antara nama yang bakal dijadikan sandaran negara dalam kejohanan itu.

Lebih menarik, mereka akan berlumba di bawah pasukan Jackie Chan DC Racing milik pelakon terkenal, Jackie Chan.

Kesemua pelumba berkenaan ditemui dalam Majlis Pengenalan Bakat Sukan Permotoran kendalian SIC di ibu kota pada Rabu lalu.

"Saya rasa ia adalah usaha yang hebat daripada SIC kerana untuk meletakkan tiga pelumba dalam satu kejohanan peringkat dunia, ia pastinya bagus kerana kita berpeluang untuk meraih status juara dunia.

"WEC adalah pentas yang hampir setaraf dengan F1 dan saya tidak pernah terfikir akan beraksi setinggi ini," kata Nabil.

"Kami harus memiliki acara yang mampu memberikan kesan ekonomi kepada negara dan pastinya bagus jika dapat meletakkan pelumba negara dalam senarai penyertaan," ujar Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.