Shahrol Yuzy bakal gunakan khidmat pelumba muda

Oleh Staff Writer 13 Mac 2018 2370
Shahrol Yuzy bakal gunakan khidmat pelumba muda
Pengurus pasukan Givi Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, mengesahkan pelumba sandaran, Muhd Zaqhwan Zaidi, tidak lagi akan bersama pasukannya bersaing dalam kejuaraan Cub Prix musim ini, sebaliknya mengambil risiko dengan menyenaraikan pelumba muda untuk bersaing dalam kategori perdana CP 150.

Zaqhwan kini mempunyai komitmen yang padat selepas pasukan Honda Asia Dream Racing mengumumkan dia akan terlibat dalam tiga kejohanan penting bagi 2018.

Antaranya ialah Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), perlumbaan lapan jam ketahanan Suzuka dan buat julung kalinya akan menjadi pelumba Malaysia pertama tampil dalam Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun (JRRC).

Atas dasar itu, Shahrol Yuzy akur dengan komitmen yang dimiliki Zaqhwan dan sudah merombak senarai pelumbanya untuk kelas CP150 dan CP115.

"Kami agak kecewa kerana Zaqhwan tidak dapat berlumba untuk kami disebabkan jadual padat yang perlu dilaluinya," katanya.

Ia dianggap satu risiko buat Shahrol Yuzy apabila menyenaraikan barisan pelumba muda yang kurang berpengalaman dalam saingan perdana CP150, namun dia menjelaskan pelumba mudanya sudah bersedia untuk memberi cabaran.

"Zaqhwan tetap akan memberikan semangat kepada pelumba-pelumba muda. Saya mengambil perkara ini secara positif dan mempercayai kebolehan pelumba yang akan diturunkan," katanya lagi.

Shahrol ditemui dalam program klinik Cub Prix Kementerian Belia dan Sukan untuk mencungkil bakat baru dalam sukan permotoran tempatan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen