Kemeriahan sambutan Aidilfitri di perantauan tidak semeriah di negara sendiri, namun kehadiran keluarga dan juadah hari raya memberi suasana meriah buat Nabil yang beraksi dalam perlumbaan 24 jam Le Mans di Perancis, bermula esok hingga Ahad.

Saingan endurance itu ternyata membawa maksud tiada sambutan raya sebenar buat Nabil dan seorang lagi pelumba negara, Jazeman Jaafar.

Ia merupakan trio pertama negara berada dalam saingan berprestij itu bersama dengan seorang lagi wakil negara, Weiron Tan, yang memilih pentas podium sebagai keutamaan selepas melewati pengorbanan besar pada hari raya.

Namun, bagi Nabil dan Jazeman, mereka masih bertuah kerana kehadiran keluarga yang turut memberi sokongan dalam aksi mereka di Perancis sekurang-kurangnya mengurangkan rasa terpinggir ketika Aidilfitri.

"Keluarga saya semuanya datang, termasuk datuk dan nenek. Sudah tentu mereka akan membawa lemang atau makanan pada raya.

"Jadi, saya tidak rasa keseorangan sangat walaupun saya memang beraya di sana," ujarnya.

Sebagai atlet negara, situasi begini adalah kebiasaan kerana meletakkan kepentingan nama negara di mata dunia adalah keutamaan mereka.

"Kami sudah biasa dengan situasi ini. Beberapa tahun lalu pun kami sudah sambut raya di luar negara. Jadi, saya menganggap ia pengorbanan sebagai atlet negara," kata Nabil lagi.