Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, mempertahankan tindakan menamakan pelumba luar, Niki Tuuli, sebagai pengganti Zulfahmi
Khairuddin daripada pasukan SIC Racing bagi membolehkan pasukan itu terus bersaing dalam kancah Moto2.


Tuuli dinamakan sebagai pengganti Zulfahmi yang mengambil keputusan mengundurkan diri sejurus tamat perlumbaan di Jerez, Sepanyol, 8 Mei lalu.

Ia juga menolak desas-desus yang mengaitkan beberapa pelumba tempatan seperti Azlan Shah Kamaruzaman, Ramdan Rosli mahupun pelumba Indonesia, Dimas Ekky Pratama.

Jelas Razlan, kebanyakkan pilihan mereka masih terikat dengan kontrak dengan pasukan masing-masing sehingga membuatkan SIC Racing tidak banyak pilihan dalam kalangan pelumba tempatan di samping memerlukan seorang individu yang mampu memberikan saingan hebat.

Keputusan empat perlumbaan yang disertai Zulfahmi sebelum ini juga tidak berakhir dengan keputusan yang positif.

"Kami mahu peningkatan dalam saingan ini dan malangnya kami tidak memiliki pelumba tempatan untuk melakukan sedemikian," kata Razlan.

"Rata-rata pelumba tempatan memiliki komitmen yang berbeza dan tidak mendapat pelepasan daripada pasukan masing-masing."

Tuuli, pelumba kelahiran Finland, yang mempunyai pengalaman beraksi dalam Kejohanan Superbike Dunia bersama pasukan CIA Landlord Insurance Honda, akan bersama majikan barunya,
SIC Racing, beraksi di Le Mans, GP Perancis hujung minggu ini.