Datuk Razlan Razali meletak jawatan sebagai pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), berkuat kuasa hari ini.

Menurut kenyataan daripada MAM, Razlan menyerahkan surat peletakan jawatannya itu kepada Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Tun Mahathir, yang menggantikan Tan Sri Azman Yahya.

Dalam surat tersebut, Razlan yang juga CEO Litar Antarabangsa Sepang (SIC), menyatakan peletakan jawatannya itu demi kebaikan MAM dan beliau juga mengumumkan Muizz Azli sebagai penggantinya.

“Muizz adalah calon sesuai untuk jawatan itu kerana dia sering kali berurusan dengan kes undang-undang melibatkan kejohanan sukan permotoran. Saya percaya Muizz mampu membawa MAM ke satu tahap yang lebih baik,” katanya.

Razlan berkata keputusannya itu juga dibuat kerana mahu memberi fokus terhadap tugasnya di SIC serta sebagai prinsipal pasukan Petronas Yamaha SRT yang merupakan pasukan MotoGP pertama Malaysia bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini.

MAM yang ditubuhkan pada 2009, berperanan sebagai badan induk sukan permotoran negara yang membantu kelab, penganjur kejohanan, pegawai, peserta, pengusaha komersial dan penaja bagi memastikan perkembangan sukan permotoran.

Objektif utama MAM adalah untuk mempromosi pembangunan akar umbi dan bakat tempatan dalam sukan permotoran.

-- BERNAMA