Pelumba Moto2 negara, Mohd Ramdan Rosli, menyasarkan podium dalam Kejuaraan Motosikal Eropah (CEV) di Litar Catalunya, sebagai landasan untuk menempa nama dalam Kejohanan Grand Prix Motosikal Dunia (MotoGP).

Sebelum ini, kejayaannya meraih tempat ketiga dalam saingan pertama di Litar Estoril, Portugal menjadi pembakar semangat untuk merealisasikan impiannya, apatah lagi dia terpaksa melupakan sambutan Aidilfitri bersama keluarga.

Pelumba kelas Moto2 itu menganggap kejuaraan ini adalah landasan tepat untuknya meluaskan pengalaman bersama barisan pelumba antarabangsa.

"Saingan CEV banyak penunggang yang berpengalaman dan ia melonjakkan peluang saya untuk bersaing dalam MotoGP," katanya.

Sementara itu, Ramdan yang turut bersaing dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) tidak mahu melepaskan peluang membuktikan prestasi cemerlang di Sepanyol nanti bagi mengintai slot dalam MotoGP.

Ia menjadi faktor pelumba TKKR Racing itu memberi lebih tumpuan kepada saingan Eropah ini berbanding ARRC.

"Saya cuba memberi tumpuan kepada CEV berbanding ARRC. Perlumbaan ini memerlukan tahap kecergasan yang tinggi dan tumpuan yang konsisten untuk muncul juara."