Pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales, mempamerkan tunggangan bertenaga hanya beberapa minit sebelum sesi hari kedua ujian pra-musim sejuk Kejohanan MotoGP 2019 berakhir untuk mencatat masa sepusingan terpantas hari ini.

Dalam sesi ujian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu, pelumba Sepanyol berkenaan mencatat masa terpantas 1 minit 58.897 saat dalam pusingan kedua terakhir daripada 63 pusingan yang dilakukannya hari ini.

Berikutan catatan masa itu, dia mengatasi rakan senegara, Alex Rins, daripada Team Suzuki Ecstar yang sebelum itu mendahului kelompok pelumba dalam sesi tersebut selepas mencatat masa terpantas, 1:59.424s, hanya ketinggalan 0.527s di belakang Vinales.

Pelumba Alma Pramac Racing dari Australia, Jack Miller, di kedudukan ketiga dengan catatan ​​​​​​​1:59.517s.

Sementara itu, rakan sepasukan Vinales, juara dunia tujuh kali, Valentino Rossi dari Itali, ketinggalan 0.728 saat di belakangnya untuk mencatat masa keenam terpantas.

Dalam pada itu, pelumba pasukan MotoGP milik Malaysia, Petronas Yamaha SRT, menampilkan aksi membanggakan apabila Fabio Quartararo dari Perancis, yang membuat penampilan sulung dalam kelas utama musim ini serta pelumba Itali, ​​​​​​​Franco Morbidelli, berada di kedudukan ke-14 dan 15 selepas masing-masing mencatat 2:00.108s dan 2:00.151s.

Pelumba MotoGP tunggal Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah, yang mewakili Red Bull KTM Tech 3 pula merekodkan masa 2:01.859s.