Pelumba Mission Winnow Ducati, Danilo Petrucci, memanfaatkan sepenuhnya kelebihan jentera ​​​​​​​Desmoedici GP19 untuk meleburkan rekod masa sepusingan terpantas pada hari terakhir ujian pra-musim Kejuaraan MotoGP 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Walaupun terjatuh ketika sesi ujian tengah hari itu, pelumba Itali berusia 28 tahun itu mencatat masa terpantas 1 minit 58.239 saat untuk mengatasi catatan masa milik Jorge Lorenzo, 1:58.830s, yang dilakukan tahun lalu dengan menggunakan jentera Ducati.

Lorenzo yang kini mewakili Repsol Honda Team adalah satu-satunya pelumba yang tidak berada di Litar Sepang untuk sesi ujian itu berikutan baru menjalani pembedahan pergelangan tangannya.

Sesi ujian pada hari terakhir itu yang berlangsung dalam keadaan cuaca panas terik, dikuasai pasukan menggunakan jentera Ducati -– Mission Winnow Ducati dan Alma Pramac Racing.

Pelumba 'rookie' MotoGP 2019 dan juara dunia Moto2, Francesco Bagnaia, daripada Alma Pramac Racing menampilkan aksi cemerlang apabila ketinggalan hanya 0.063s di belakang Petrucci manakala rakan sepasukannya, Jack Miller, dari Australia di tempat ketiga terpantas dengan catatan masa ​​​​​​​1:58.366s.

Seorang lagi pelumba Mission Winnow Ducati dari Itali, Andrea Dovizioso, pula ketinggalan 0.299s daripada pendahulu.

Pelumba pasukan tuan rumah, Petronas Yamaha SRT, Franco Morbidelli, dari Itali mencatat keputusan membanggakan apabila menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba terbaik selepas mencatat masa terpantas ​​​​​1:59.141s untuk berada di kedudukan kelapan, manakala rakan sepasukannya dari Perancis, Fabio Quartararo, di tempat ke-16 dengan catatan 1:59.497s.

Juara dunia tujuh kali MotoGP, Valentino Rossi, daripada pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP dan juara dunia, ​​​​​​​Marc Marquez, masing-masing di tempat ke-10 dan 11 selepas mencatat masa 1:59.155s dan 1:59.170s.

Pelumba MotoGP tunggal Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah, pula merekodkan masa 2:00.766s.

Pusingan akhir ujian pra-musim MotoGP akan diadakan di Litar Antarabangsa Losail di Qatar pada 23-25 Feb sebelum perlumbaan pembuka tirai musim 2019 di litar sama pada 8-10 Mac.

-- BERNAMA


​Kredit imej: gpmalaysia