Selepas menyaksikan pelumba negara beraksi dalam perlumbaan MotoGP Silverstone tahun ini, Malaysia bakal mencipta sejarah menerusi penglibatan secara langsung sebagai pasukan bertanding.

Promoter sukan permotoran, Litar Antarabangsa Sepang (SIC), akan menyertai kelas premier MotoGP bersama syarikat minyak dan gas multinasional, Petronas, sebagai rakan penaja rasmi.

Kerjasama tersebut akan menjadikan ia sebagai kejohanan motosikal dunia pertama yang dikendalikan sepenuhnya oleh anak tempatan.

Perjanjian itu berkuat kuasa pada 2019 hingga akhir 2021.

Pengumuman tersebut dibuat Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam sidang media di Grand Prix British, Jumaat lalu.

Mengulas mengenai kerjasama itu, beliau berkata pihaknya telah melihat perjalanan Malaysia dalam kelas MotoGP musim ini dan dengan pasukan negara berada dalam carta musim depan, akan ada lebih banyak berita gembira untuk Malaysia.

Syed Saddiq berkata pasukan baharu MotoGP ini membuka laluan untuk masa depan yang cerah bagi sukan permotoran Malaysia.

"Telah terbukti bahawa sukan mempunyai kuasa untuk menyatukan negara dan saya percaya dengan inisiatif daripada Litar Antarabangsa Sepang dan Petronas ini, kita bukan sahaja akan mencapai kecemerlangan di trek perlumbaan, malah juga perpaduan antara peminat sukan tersebut, tidak kira bangsa dan agama," katanya.

Turut hadir Pengerusi SIC, Tan Sri Azman Yahya, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali, Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmello Ezpeleta, Pengurus Besar Yamaha Motor Co. Ltd Bahagian Pembangunan Motosikal, Kouichi Tsuji, dan Pengarah Urusan Yamaha Motor Racing Srl Lin Jarvis.

Uniform baharu yang ditandatangani Franco Morbidelli dari Itali dan Fabio Quartataro dari Perancis mengesahkan penglibatan mereka dalam aksi MotoGP.

Kedua-dua pelumba itu akan bertanding menggunakan motosikal berkuasa tinggi Yamaha YZR-M1 dengan penglibatan Petronas susulan perjanjian di antara SIC dan Yamaha Motor Co. Ltd.

Petronas akan menggunakan platform MotoGP untuk mengetengahkan teknologi pelincir motosikal yang berintegrasi dengan teknologi solusi cecair ke dalam operasi harian pasukan tersebut

"Melalui kerjasama ini, Petronas kini mempunyai platform lain untuk meneruskan inovasi teknologi dalam bidang bahan api dan pelincir untuk motosikal.

"Kami percaya ini adalah langkah penyelidikan dan pembangunan yang sempurna dalam usaha untuk menawarkan produk serta penyelesaian inovatif buat pelanggan kami.

"Pada dasarnya, matlamat kami adalah untuk membawa bahan api dan pelincir terbaik, berkualiti tinggi dari 'trek ke jalan raya' untuk pelanggan kami di seluruh dunia," katanya.

Ia akan mencerminkan kejayaan hubungan syarikat dengan Mercedes AMG Petronas Motorsport, iaitu pemenang Pelumba Formula Satu Kejohanan Dunia empat kali berturut-turut.

-- BERNAMA