Perlumbaan kategori Wira semakin sengit dan penuh drama setelah pendahulu keseluruhan, Mohd Aiman Tahiruddin, terkeluar daripada barisan pelumba yang layak ke perlumbaan akhir selepas menduduki tempat terakhir sesi kelayakan pada hari pertama pusingan akhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS akibat masalah jentera di Dataran Bandar Penawar, Johor, hari ini.

Mohd Aiman, yang hanya memerlukan tiga mata lagi untuk mengesahkan gelaran sebagai juara keseluruhan, terpaksa mengharapkan pencabarnya, Mohd Syafieq Aiman (Elf Koyoko KC Racing Team), tidak memenangi perlumbaan seandainya mahu menamatkan musim 2017 selaku juara keseluruhan.

Sementara itu, Syafieq turut menghadapi cabaran menjelang perlumbaan akhir apabila bakal memulakan perlumbaan akhir dari petak ketiga setelah mencatat masa 59.188 saat dalam sesi kelayakan Shootout di belakang Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) yang merakam masa terpantas 59.063s, sebelum diikuti rakan sepasukan, Syarifuddin Azman, yang meraih 59.136s.

Syafieq mengakui turut terkejut dan tidak menyangka Aiman akan menghadapi masalah mekanikal dan gagal layak ke perlumbaan akhir.

“Saya tidak tahu apa yang berlaku ketika sesi kelayakan. Saya terkejut dan sama-sekali tidak menyangka Aiman gagal untuk mara ke perlumbaan akhir.

"Walaupun keadaan ketika ini memberi lebih tekanan, saya berharap dapat menggunakan peluang ini untuk mencipta kemenangan,” jelas Syafieq.