ONEXOX TKKR SAG buka ruang buat Hafizh Syahrin 

Oleh Staff Writer 12 Julai 2019 10147
ONEXOX TKKR SAG buka ruang buat Hafizh Syahrin 
Hafizh Syahrin Abdullah masih berpeluang beraksi dalam Kejohanan Motosikal Dunia biarpun tempatnya bersama pasukan yang beraksi dalam kelas MotoGP, Red Bull KTM Tech3, diambil pelumba Afrika Selatan, Brad Binder, untuk musim 2020. 

Pengumuman kelmarin itu mengejutkan peminat sukan permotoran tatkala saingan berbaki 10 pusingan lagi musim ini dan dia berkemungkinan akan kembali ke kelas pertengahan, Moto2.

Malah, terdapat desas-desus bahawa pasukan ONEXOX TKKR SAG ingin menyenaraikan Hafizh dalam percaturannya, namun prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsudin, menjelaskan ia hanya satu perancangan selain bergantung kepada keputusan Hafizh sendiri.

"Banyak kemungkinan bakal berlaku yang kita boleh jangkakan. 

"Saingan MotoGP masih berbaki lima bulan.

"Jika dia tidak mendapat tempat dalam mana-mana pasukan manakala barisan penunggang tidak bertukar, maka kalau kita terpaksa membeli satu slot Moto2, langkah itu akan meningkatkan kos operasi menjadi lebih tinggi," kata Bobie. 

Hafizh mula melangkah ke kelas perdana MotoGP pada 2018 dengan menyertai pasukan Tech3 yang menggunakan jentera Yamaha YZR M One dengan menamatkan saingan musim itu di tangga ke-16 dengan kutipan 46 mata keseluruhan. 

Bagaimanapun, selepas pasukan itu mengambil keputusan bekerjasama dengan pengeluar KTM bermula musim ini, Hafizh kelihatan bergelut dengan jentera KTM RC 16 pada saat pasukan dan dirinya masih dalam proses pelarasan motosikal dari Austria itu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen