Beberapa pelumba berbakat tempatan kini memburu kemenangan menjelang perlumbaan terakhir Kejohanan Formula Empat Asia Tenggara musim 2017-2018 di Litar Antarabangsa Sepang, hujung minggu ini.

Memasuki musim kedua, F4 Asia Tenggara menampilkan lima siri yang menyaksikan enam perlumbaan setiap siri perlu diharungi pelumba.

Ia dilihat sebagai antara langkah awal buat pelumba berbakat untuk mencapai impian mereka bergelar pelumba Formula Satu.

Saingan di Sepang pada minggu ini merupakan penutup tirai bagi saingan 2018, yang menyaksikan antara pelumba yang memburu kemenangan adalah Nazim Azman dan Muizz Mustaffa.

"Harapan saya pada hujung minggu ini adalah meraih kemenangan selepas mendapatkan tempat di podium ketika di Buriram. Kami harus berjuang bagi mendapatkan mata walaupun saya sudah tidak boleh memberi cabaran untuk kejuaraan.

"Ini adalah untuk pendedahan dan pengalaman," kata Nazim.

"Keadaan agak sedikit sukar kerana ia adalah pertama kali, dengan gear dan tempat duduk yang baru tetapi kami cuba berusaha untuk mendapatkan kemenangan," tambah Muizz.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif F4 Asia Tenggara, Peter Thompson, menaruh keyakinan tinggi terhadap kemampuan saingan ini untuk terus membantu pelumba, khususnya dari Malaysia dalam mengembangkan lagi karier mereka.

"Berbanding tahun lalu, aksi pada tahun ini menyaksikan pelumba dari Malaysia meraih tempat dalam kelompok pemenang menerusi Mitchell Cheah dalam perlumbaan sebelum ini, jadi wakil Malaysia melakukan tugas baik pada musim ini," ujar Thompson.