Kejayaan berada dalam kelompok tiga terbaik Pelumba Muda Tahunan saingan Formula Empat (F4) Asia Tenggara memberikan lebih semangat buat pelumba negara, Muizz Musyaffa, untuk menghadapi musim penuh perlumbaan tahun ini.

Saingan F4 Asia Tenggara memberi peluang buat beberapa pelumba muda untuk menyerlahkan bakat pemanduan mereka dalam laluan ke Formula Satu (F1).

Meskipun dia hanya menyertai dua pusingan terakhir di Buriram (Thailand) dan Sepang, pemanduan yang dipamerkan Muizz meletakkannya di tangga ketiga kedudukan pelumba muda Anugerah Meritus Gala 2017 Petron.

Dia diatasi Hibiki Taira dari Jepun di samping pelumba kelahiran Thailand, Kane Sheperd.

Selain itu, Muizz turut mendapat biasiswa perlumbaan daripada Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang membolehkannya berlumba musim penuh bagi saingan F4 2018 yang bermula bulan depan.

"Saya akan bersaing dalam F4 untuk sepanjang musim.

"Saya perlu (meningkatkan) stamina kerana ia tidak berapa bagus selain keperluan memberi fokus di dalam trek," kata Muizz.

Seorang lagi pelumba negara, Nazim Ahmad, menerima Anugerah Pemanduan Terbaik Tahunan.

Dalam pada itu, gelaran Pelumba Terbaik Tahunan menjadi milik Daniel Cao dari China.

Dia mempamerkan pemanduan yang cukup konsisten apabila menduduki podium dalam semua lima pusingan perlumbaan sepanjang musim lalu.

"Perlumbaan F4 pastinya sukar kerana mengenali ramai pemandu yang ada semasa kami berlumba dalam kancah go-kart," kata Cao.