Pemenang pusingan pertama kategori Sports Production Two (SP2), Kejohanan Siri Perlumbaan Malaysia (MSC), Ady Rahimy, menyahut cabaran untuk membawa beban seberat 60 kilogram dalam pusingan kedua kelak.

Pemandu di bawah kendalian CY Ong bagi pasukan Dream Chaser itu berada dalam keadaan baik bagi meneruskan aksi dalam pusingan dua, hujung minggu ini.

Selepas melakar kemenangan berganda, kali ini Ady diduga dengan jentera yang lebih berat susulan kemenangannya dalam pusingan pertama.

"Disebabkan kemenangan yang diraih dalam pusingan lalu, jentera saya perlu membawa beban 60kg melebihi kereta-kereta yang lain.

"Ini merupakan satu cabaran dan saya akan buat yang terbaik untuk mengekalkan momentum," katanya.

Tambah Ady, dengan latihan menggunakan simulator, teknologi berkenaan sedikit-sebanyak membantu pemanduannya,malah beraksi bersama jentera baru tidak akan mengganggu fokus dan persiapannya dalam menghadapi perlumbaan seterusnya.

"Kami telah cuba dan menguji pelarasan baru sebagai persiapan untuk perlumbaan yang akan bermula esok.

"Saya harap pelarasan baru ini akan membuahkan hasil," katanya.