Pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo, sekali lagi membuktikan kehebatannya selaku pelumba muda dalam kelas perdana MotoGP apabila menyambar petak utama dalam perlumbaan Grand Prix (GP) Thailand, esok.

Pelumba Sepanyol berusia 20 tahun itu mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 29.719 saat dalam sesi kelayakan kedua (Q2) hari ini, yang juga catatan rekod baru terpantas di Litar Antarabangsa Chang, Buriram.

Ia adalah petak utama keempat yang diraihnya dalam kelas MotoGP musim ini.

Quartararo menamatkan saingan itu 0.106s lebih pantas berbanding penunggang Sepanyol, Marverick Vinales (Monster Energy Yamaha MotoGP) manakala penyandang juara dunia, Marc Marquez (Repsol Honda), melengkapkan barisan depan selepas ketinggalan 0.212s.

Rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli, pula menghuni petak keempat dengan catatan masa terpantas 1:30.431s.

Quartararo kini menduduki tangga keempat dalam kedudukan keseluruhan MotoGP (selepas 14 pusingan) dengan mengumpul 123 mata serta mendahului senarai Anugerah Muka Baru Terbaik Tahunan (Rookie of The Year) dengan kelebihan 74 mata di depan pencabar terdekat, Joan Mir (Suzuki Ecstar).

-- BERNAMA