Sukan permotoran di Malaysia terus melahirkan bakat-bakat baru yang berpeluang cerah untuk berjaya di peringkat lebih tinggi dan pelumba yang sedang meningkat naik dan berbakat besar, Mitchell Cheah, perlu diberikan perhatian.

Mitchell, 21, begitu komited untuk memberikan persembahan terbaiknya di litar perlumbaan dengan bercita-cita untuk mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Mitchell disokong oleh Axle Motorsport -- syarikat sukan permotoran yang diasaskan bekas pelumba Formula Satu (F1) negara, Alex Yoong.

Sejak penubuhannya pada 2008, Axle Motosport telah melahirkan pelumba muda seperti Daim Hishamudin, Wei Ron Tan, dan pemenang Perlumbaan Indy 500, Alexander Rossi.

"Axle Motorsport juga bertanggungjawab untuk menguruskan pemandu, mendapatkan penaja, serta pembangunan bakat pelumba," ujar Alex.

Dengan pengetahuan dan pengalaman yang dimiliki Alex di pentas F1, ia merupakan satu peluang yang perlu direbut dan digunakan sebaik-baiknya oleh bakat-bakat muda untuk lebih berjaya dalam sukan permotoran.

Axle Motorsport akan mengambil bahagian dalam pelbagai perlumbaan sepanjang tahun ini seperti Asian Formula Renault Series, Formula 4 China, Formula 4 SEA dan ADAC TCR Germany Touring Car Championship.

"Axle Motosport sangat komited untuk membimbing pelumba-pelumba muda yang sedang meningkat naik.

"Terdapat ramai pelumba muda di negara ini dan dengan pengurusan serta panduan yang disediakan, saya yakin bakat yang mereka ada tidak akan disia-siakan.

"Sebagai bekas pelumba F1, saya bersedia untuk berkongsi pengalaman serta ilmu bagi membantu rakan senegara yang bercita-cita untuk menjadi pelumba berjaya.

"Ia tidak mudah tetapi bagi kes Mitchell, saya begitu teruja melihat dedikasi serta komitmen yang ditunjukkannya.

"Saya yakin dia akan berjaya mengharumkan nama negara pada masa depan," tambahnya.

Mitchell menambah: "Saya akan menyertai Kejohanan ADAC TCR Germany Touring Car tahun ini dengan menjadi wakil tunggal Malaysia dan Asia.

"Ia menaikkan semangat serta motivasi saya untuk memberikan persembahan terbaik, lebih-lebih lagi apabila bersaing dengan pelumba dari Eropah.

"Buat masa ini, saya sedang gigih mempersiapkan diri sebelum memulakan musim perlumbaan yang baru nanti," katanya.

Mitchell akan memulakan musim baru Kejohanan ADAC TCR Germany Touring Car di Jerman, 26 April ini.

Sebanyak tujuh pusingan akan dilangsungkan di seluruh Jerman dengan sembilan pelumba dari enam pasukan akan bertanding bagi musim 2019.