Niki Lauda adalah seorang 'gergasi' dalam Formula Satu (F1) yang akan meninggalkan legasi, kata bekas seteru utamanya, Mario Andretti.

Juara dunia tiga kali, Lauda, meninggal dunia pada usia 70 tahun semalam.

Andretti yang memenangi kejuaraan pada tahun 1978 -- iaitu setahun selepas kejayaan kedua Lauda -- memberikan penghormatan buat legenda F1 itu.

"Bagi saya, Lauda adalah gergasi dalam sukan kami dan dia terus memberikan sumbangan kepada Mercedes," ujar Andretti.

"Setiap kali berada dalam perlumbaan F1, dia adalah individu yang ingin saya temui dan berbual. Perkara lain yang membuatkan saya amat menghargai Lauda adalah kerana dia sentiasa mempunyai perasaan bagus terhadap banyak perkara sewaktu memberikan sumbangan. Apabila dia berkata sesuatu, anda perlu dengar.

"Dia adalah gergasi dan rakan yang baik. Saya akan sangat merinduinya, sama seperti orang lain. Saya tahu dia sakit selepas melalui pembedahan paru-paru dan terdapat tempoh di mana kami tidak mendengar khabar tentangnya tetapi saya tetap terkejut apabila mengetahui dia meninggal dunia."

Lauda amat dikenali selepas terlepas daripada kemalangan ngeri ketika memandu jentera Ferrari pada tahun 1976, sebelum dia kembali ke litar dan hanya terlepas dua perlumbaan.

Andretti juga menambah: "Dia sangat kuat, sentiasa memandu untuk pasukan hebat dan rekodnya selaku pemandu menceritakan segalanya.

"Cara dia kembali selepas mengalami kemalangan juga sungguh mengagumkan. Saya tidak tahu jika orang lain mampu melakukannya sepantas seperti Lauda dan dia menunjukkan keinginan tinggi untuk memandu. Dia adalah individu yang akan diminati oleh semua orang.

"Sesetengah pesaing sepertinya akan membuatkan anda berfikir bahawa dia akan kembali untuk beraksi tetapi dia dialu-alukan dengan tangan terbuka selepas mengalami kecederaan teruk.

"Saya sangat meminatinya kerana aspek itu. Untuk kembali dan bergelar juara dunia semula, dia antara yang istimewa.

"Lauda sentiasa bersikap positif, dia tidak mahu orang ramai berasa kasihan terhadapnya sewaktu kembali ke F1. Dia hadir untuk berlumba dan itu merupakan perwatakan yang dimilikinya.

"Dia tidak mahukan sebarang belas kasihan, sangat bertanggungjawab dan sebab itu semua orang sayangkannya, termasuk saya."