Pelumba Moto2 negara, Khairul Idham Pawi, mengakui masih belum menyesuaikan diri bersama jentera Kalex tetapi percaya sesi ujian rasmi di Sepang minggu depan dapat membantunya mengatasi perkara berkenaan.

Khairul Idham kini memasuki musim ketiganya dalam saingan Moto2 dengan menjadi pelumba tunggal pasukan Petronas Sprinta Racing.

Dua musim sebelum ini dia bersama pasukan Idemitsu Honda Asia selepas tampil cemerlang dengan dua kemenangan bagi kategori Moto3 pada 2016.

Menurut Khairul Idham, dia pernah menguji jentera Kalex itu di Jerez, Sepanyol bulan lalu tetapi berpandangan belum ada keserasian yang diharapkan.

"Kami akan menjalani ujian di Litar Sepang. Kami akan cuba mencari tetapan yang terbaik untuk jentera saya," katanya selepas sesi bertemu peminat anjuran pasukannya di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hari ini.

Turut hadir, dua lagi pelumba pasukan itu bagi saingan Moto3, iaitu John McPhee dan Ayumu Sasaki.

Mengulas mengenai cabarannya bagi musim ini, Khairul Idham mengharapkan tuah bersama pasukan baru dapat mengubah nasibnya selepas mempamerkan persembahan kurang memuaskan pada 2018.

"Tahun lepas adalah pengalaman yang sukar buat saya. Ini merupakan musim ketiga dalam saingan Moto2 dan keputusan yang positif menjadi sasaran saya kali ini."