Biarpun berat hati terpaksa melupakan pasukan Jackie Chan DC Racing, Jazeman Jaafar optimis mampu berdikari dan mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini, Jazeman di samping Nabil Jeffri dan Weiron Tan yang mewakili pasukan itu mencipta sejarah dalam perlumbaan enam jam, Kejuaraan Endurance Dunia (WEC), tahun lalu.

Pemandu berumur 27 tahun itu memasang impian untuk mewakili negara dalam Kejohanan Festival GT Asia bulan depan untuk meneruskan kejayaannya menempa nama di persada dunia.

Bagaimanapun, Jazeman belum mahu mendedahkan perancangannya tahun ini, sebaliknya mengambil keputusan untuk mengumumkannya bulan depan sejurus selesai perbincangan bersama sebuah pasukan.

"Saya yakin mampu lebih berdikari pada masa akan datang selain membawa pulang ilmu yang dipelajari dan kejayaan yang pernah saya menangi ke Malaysia," ujarnya.

Sementara itu, perlumbaan endurance menjadi tumpuan utama pemandu negara, Nabil Jeffri, musim ini berbanding terus berharap untuk menyertai saingan Formula Satu (F1).

"Saya ingin menumpukan perhatian kepada perlumbaan endurance.

"Kalau tidak ada RM60 juta, maka mustahil saya boleh bergelar pelumba F1.

"Saya perlu lebih realistik dan sebab itulah ketika ini, perlumbaan endurance menjadi tumpuan utama saya," kata Nabil.