Mohd Izzat Zaidi menghadiahkan podium buat Malaysia apabila memenangi Perlumbaan 1 kategori Underbone 150cc dalam Pusingan 2, Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar The Bend Motorsport, Australia, hari ini.

Pelumba RCB Yamaha YY Pang Racing itu yang memulakan perlumbaan dari petak kelima, menamatkan tujuh pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 16:23.831s, sekali gus naik ke tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan jumlah 58 mata.

Seorang lagi pelumba negara, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing), turut menghadiahkan podium setelah mengetepikan saingan sengit Wahyu Aji Trilaksana (Yamaha Racing Indonesia) untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan masa keseluruhan 16:23.947s manakala Wahyu di tempat ketiga dengan hanya perbezaan 0.021s.

Helmi, bagaimanapun, jatuh ke tangga kedua dalam senarai keseluruhan dengan 56 mata sambil diekori Wahyu yang mengumpul 36 mata.

“Saya gembira dengan kemenangan pertama musim ini memandangkan agak ketinggalan pada awal perlumbaan selepas berlaku insiden melibatkan pelumba lain pada awal perlumbaan.

“Selepas itu, saya berjaya mengejar dan pada dua selekoh terakhir, Helmi dan Wahyu bersaing sesama sendiri dan membuka ruang untuk saya memecut dan memintas mereka seterusnya memenangi perlumbaan. Saya menghadiahkan kemenangan ini kepada pasukan dan semua yang menyokong dan membantu saya,” jelas Izzat.

Dalam saingan Asia Production 250cc, penguasan tiga pelumba Indonesia dengan kemenangan menjadi milik Rheza Danica Ahrens (Astra Honda Racing Team), diikuti rakan sepasukan, Mario Suryo Aji. Kedua-dua pelumba menamatkan perlumbaan dengan masa keseluruhan 19:18.357s dan 19:18.436s.

Andy Muhammad Fadly (Manual Tech KYT Kawasaki Racing) di tempat ketiga dengan masa 19:25.995s.

Penamat di tempat keempat cukup untuk membantu Anupab Sarmoon (YAMAHA Thailand Racing TEAM) untuk kekal mendahului senarai keseluruhan dengan mengumpul 49 mata. Rheza di kedudukan kedua dengan 48 mata, diikuti Mario ketiga, 46 mata.

Perlumbaan satu SuperSports 600cc di The Bend Motorsport Park telah dibatalkan selepas dua insiden yang memaksa bendera merah dikibarkan.

Saingan 15 pusingan ini telah dikibarkan bendera merah dalam pusingan ketiga ketika pendahulu perlumbaan, Yuki Ito, mengalami kemalangan.

Perlumbaan itu disambung semula dan kali ini dipendekkan kepada sembilan pusingan tetapi sekali lagi dihentikan apabila pendahulu kejuaraan, Azlan Shah Kamaruzaman, turut mengalami kemalangan dalam pusingan ketiga.

Di bawah peraturan ARRC, perlumbaan satu itu dibatalkan dan tiada mata kejuaraan akan diberikan.