Anthoine Hubert meninggal dunia pada usia 22 tahun selepas terlibat dalam kemalangan Formula 2 (F2) dalam Grand Prix Belgium semalam, demikan diumumkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

Kemalangan yang melibatkan tiga kereta dalam pusingan kedua di Litar Spa itu menyaksikan pasukan kecemasan dan pegawai perubatan turut dikejarkan dengan pemandu, Hubert, Juan Manuel Correa dan Giuliano Alesi, dilaporkan terlibat.

Kemas kini dalam laman Twitter F2 mengesahkan hanya perlumbaan itu tidak akan diteruskan dan maklumat lanjut akan disusuli kemudian.

FIA kemudian mengeluarkan satu kenyataan dalam Facebook yang mengesahkan kemarian Hubert.

"Susulan kemalangan itu, FIA dengan rasa berat mengumumkan pemandu kereta #19, Anthoine Hubert (FRA), terkorban akibat kecederaan dan meninggal dunia pada 18:35," tulisnya.

Kenyataan itu turut mendedahkan Correa berada "dalam keadaan stabil dan sedang dirawat", dengan maklumat lanjut akan disusuli pada masa yang sesuai.

Alesi, dalam pada itu, melalui ujian perubatan dan disahkan sihat.

Kenyataan daripada FIA turut mengumumkan mereka akan membuka kertas siasatan berkenaan kemalangan itu dengan menyimpulkan: "FIA bersedia memberikan sokongan kepada pihak penganjur dan pihak berkuasa yang berkaitan, dan telah memulakan penyiasatan terhadap insiden itu."

Hubert meraih dua kemenangan dalam musim F2 pertamanya bersama pasukan BWT Arden selepas menjuarai Siri GP3 pada 2018.

Laman Twitter Formula 1 turut merakamkan penghormatan buat Hubert.

"Kami bersedih dengan berita kematian Anthoine Hubert.

"Segala ingatan kami buat keluarga dan rakan-rakannya. Dia tidak akan dilupakan," tulis kiriman berkenaan.