Lewis Hamilton yakin prestasinya akan bertambah baik musim ini apabila mengintai mahkota kelima kategori pemandu Formula Satu (F1) dalam tempoh enam tahun.

Hamilton meraih gelaran kelima pada 2018 untuk Mercedes terus menguasai sukan itu.

Pengetua pasukan, Toto Wolff, mencadangkan perubahan ke atas peraturan aerodinamik akan menjadikan perlumbaan musim ini lebih terbuka, namun Mercedes dan Hamilton tetap menjadi pilihan utama untuk meraih gelaran.

Bercakap dalam majlis pelancaran Silver Arrows, Hamilton -- dua gelaran lagi untuk menyamai rekod Michael Schumacher -- menegaskan dia tetap bermotivasi untuk beraksi.

"Ia adalah sesuatu yang gila untuk memikirkan bahawa ini adalah musim ke-13 saya tetapi saya masih mempunyai keazaman, tenaga dan keinginan untuk peningkatan mutu persembahan dan mahu mencapai pelbagai perkara lain lagi serta terus berkembang dan bertambah baik sebagai pemandu, bahkan sebagai manusia," katanya dalam video yang disiarkan di akaun Twitter rasmi pasukan itu.

"Saya sangat gembira. 2018 adalah tahun yang hebat tetapi saya berasakan 2019 boleh jadi lebih baik.

"Saya masih mempunyai keazaman yang sama, ia semangat yang berbeza setiap tahun. Ia berubah dan terus berkembang.

"Perkara yang indah tentang api ialah ketika anda duduk dan memerhatikan nyalaannya, anda akan mendapati nyalaannya akan terus berkembang, sama seperti semangat saya pada setiap tahun.

"Ia sentiasa menyinari hati saya tetapi tidak boleh berlebihan, terlebih panas atau lebih kuat daripada itu tetapi ia akan berkembang dan terus berkembang.

"Saya adalah pemandu kedua tertua di sini tetapi saya masih muda. Saya masih fleksibel, masih kuat, masih memiliki kemampuan."