Pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah, sah meninggalkan pasukannya, Petronas Raceline Malaysia, sekaligus menguatkan khabar angin bahawa dia akan bersama pasukan baru musim depan.

Pengumuman itu dikeluarkan secara rasmi di laman web Petronas Raceline Malaysia, Pescao55.com, menamatkan ikatan yang dimeterai sejak tahun 2007 ketika melakukan penampilan pertama dalam Cub Prix Malaysia.

Hafizh kini sedang berada di Phillip Island, Australia, untuk menghadapi saingan Moto2 hujung minggu ini, dan seterusnya akan kembali ke Malaysia bagi menghadapi GP Malaysia di Sepang pada 29 Oktober ini.

Dia dikhabarkan bakal beralih ke pasukan SIC Racing memandangkan Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, juga dijangka akan turut sama membuat pengumuman rasmi Selasa depan.