Bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, tetap memilih untuk berlatih di luar negara walaupun bakal beraksi dengan pasukan baru, iaitu Aspar Racing Team.

Hafizh akan kembali berlumba dalam Moto2 dalam Kejuaraan Dunia 2020 bersama Aspar Racing Team.

Pelumba berusia 25 tahun itu bakal bergandingan dengan Aron Canet, yang naik ke Moto2 selepas bertarung merebut gelaran juara Moto3 musim ini.

Walaupun dengan pasukan baru, Hafizh tetap akan berkelana ke luar negara sebagai persiapan bagi berada di tahap terbaik untuk menghadapi musim baru.

"Untuk menjadi seorang atlet yang lebih berkualiti, kami perlu berlatih di luar negara kerana pengalaman serta pendedahan di sana mampu meningkatkan lagi kemampuan saya. Pengalaman tujuh tahun di sana akan digunakan untuk saya menghadapi persiapan di sana nanti," katanya.

Tambah Hafizh lagi, penglibatannya dalam beberapa sukan lain seperti jentera empat roda dan sukan berbasikal banyak membantu persiapannya untuk saingan Moto2 nanti.

"Ia sedikit-sebanyak membantu peningkatan kualiti perlumbaan saya. Saingan World Touring Car Cup (WTCR) di Sepang tempoh hari menghadirkan cabaran yang berbeza, sekali gus meningkatkan lagi pengalaman dalam dunia sukan permotoran."



Editor: Ammar Hakim