Pelumba Red Bull KTM Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah, masih belum berpuas hati dengan keupayaan jenteranya selepas sekadar menduduki tangga ke-26 terpantas sesi ujian rasmi MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Sesi ujian rasmi MotoGP bagi musim 2019 yang bermula hari ini, merupakan peluang buat semua pasukan dan pelumba menguji kemampuan jentera masing-masing.

Ternyata masih banyak yang perlu diperbaiki oleh Hafizh dalam mencari tetapan yang sesuai buat jenteranya selepas sekadar mencatat masa terpantas 2 minit 01.853 saat dalam 49 pusingan yang dilakukan.

Rakan sepasukannya, Miguel Oliviera, pula di kedudukan ke-16 terpantas menerusi catatan 2:00.902s.

Hari pertama sesi itu dikuasai oleh juara dunia, Marc Marquez, menerusi jentera Repsol Honda di samping Alex Rins serta Maverick Vinales, masing-masing mewakili pasukan Suzuki Ecstar dan Monster Energy Yamaha.

"Masih jauh lagi ketinggalan dengan pelumba-pelumba lain. Terdapat beberapa pertukaran yang harus dilakukan bagi meningkatkan mutu tunggangan saya," kata Hafizh.

Sementara itu, Hafizh beranggapan dia mempunyai masa yang memadai untuk menyesuaikan diri bersama jentera jika dibandingkan dengan musim lalu.

Ketika itu, dia merupakan pengganti saat-saat akhir buat pasukan Tech3 dengan menggunakan jentera Yamaha.

Jelas Hafizh, walaupun peralihan ke jentera KTM memerlukan sedikit masa untuk serasi, ia tidak akan menggugat kesediaan pelumba berusia 25 tahun itu menjelang perlumbaan pembuka tirai di Qatar, 10 Mac depan.

"Persiapan pasukan dan fizikal saya berada pada tahap terbaik, cuma jentera yang perlu dipertingkatkan lagi."