Hafizh belum mahu tetapkan sasaran

Oleh Staff Writer 20 Mac 2018 1002
Hafizh belum mahu tetapkan sasaran
Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, menjelaskan masih terlalu awal untuknya meletakkan sebarang sasaran dalam saingan musim ini walaupun melakar kejayaan membanggakan dalam saingan di Litar Antarabangsa Losail, Qatar hujung minggu lalu.

Kejayaan Hafizh menamatkan saingan di tempat ke-14 dan meraih dua mata dalam perlumbaan pertamanya bagi saingan MotoGP hadir tanpa disangka, namun dia enggan mudah berpuas hati kerana berasakan masih banyak yang perlu diperbaiki untuk mengejar kelompok hadapan pelumba elit tatkala perlumbaan musim ini masih berbaki 18 pusingan.

Hafizh hanya berani meletakkan sasaran selepas dia mengharungi beberapa pusingan lagi sebelum menyatakan secara umum misi yang ingin dicapainya musim ini

"Masih awal kerana saya baru melalui perlumbaan pertama. Mungkin sasaran boleh diletakkan selepas tiga atau empat aksi. 

"Setiap pelumba inginkan pencapaian terbaik," kata Hafizh.

Tidak ketinggalan, seorang lagi sandaran negara adalah pelumba Moto3, Adam Norrodin, yang menamatkan saingan di tempat ke-11 di Losail.

Selepas ini, barisan pelumba negara akan bersiap sedia untuk menghadapi GP Argentina dan Adam masih menyimpan kenangan di litar itu apabila hampir memenangi podium pertamanya pada 2016, sebelum terjatuh beberapa meter dari garisan penamat.

"Aksi di Qatar telah banyak mengajar saya. Aksi di Argentina memberikan kenangan manis buat saya sebelum ini, membuatkan saya yakin untuk beraksi kali ini," ujar Adam.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen