Habibullah harap KBS bantu sukan motocross

Oleh Staff Writer 4 Ogos 2019 576
Habibullah harap KBS bantu sukan motocross
Pelumba motocross negara, Muhd Habibullah Mohd Salleh, berharap lebih banyak sirkit perlumbaan sukan itu dapat diadakan di seluruh negara.

Menyifatkan sukan itu seperti dipinggirkan, Habibullah berkata hanya ada dua kejohanan dalaman dianjurkan tahun ini, iaitu di Jempol, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Lebih menyedihkan, tiada sebarang siri perlumbaan itu di peringkat kebangsaan sejak 2010.

Menurutnya, sukan motocross memiliki potensi besar untuk melahirkan lebih ramai pelumba di peringkat antarabangsa, termasuk dalam kelas MotoGP.

"Sebelum 'melompat' kepada kelas lebih tinggi, mereka bermula dengan sukan motocross. Malah, Hafizh (Syahrin) juga berlatih dengan motocross.

"Untuk sukan ini, tiada kejohanan besar di peringkat kebangsaan seperti Cub Prix sedangkan ada pelumba motocross yang baik untuk diketengahkan.

"Tak perlu peringkat Asia pun, lebih baik fokuskan kepada kejohanan seluruh Malaysia dahulu," kata juara Kejohanan Supermoto Asia 2016 dan 2018 itu yang ditemui selepas menjuarai Cabaran Motocross Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Peringkat Terengganu di Litar Motocross Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.

Berkongsi 47 mata dengan Khairul Afif Ghazali, kemenangan berpihak kepada Habibullah selepas dia memenangi perlumbaan kedua dengan catatan masa 17 minit 14.128 saat.

Naib juara, Khairul Afif, yang juga pelumba negara, terpaksa berpuas hati merekodkan masa 17 minit 24.769 saat dalam 11 pusingan walaupun memenangi perlumbaan pertama.

Masing-masing membawa pulang hadiah kemenangan RM800 serta RM400 dalam kejohanan dua hari itu yang mempertandingkan 12 kategori.

"Motor saya mengalami kerosakan dalam perlumbaan pertama, namun masih mampu menamatkan perlumbaan di tempat kedua.

"Dalam pusingan kedua, saya tahu perlu bekerja keras untuk memberi saingan kepada Khairul Afif dan akhirnya berjaya kalahkan dia," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen