Valtteri Bottas dan Lewis Hamilton merakam masa terpantas dalam Grand Prix (GP) Britain tatkala Mercedes membuktikan mereka masih boleh dikekang minggu ini.

Dengan angin bertiup kencang di Litar Silverstone semalam, beberapa pemandu berdepan cabaran dalam cuaca sedemikian, namun ia tidak menyekat pendahulu kejuaraan, Silver Arrows, untuk meletakkan penanda aras.

Bottas muncul pemandu terpantas dengan catatan 1 minit 26.732 saat ketika menggunakan tayar lembut dalam sesi ujian bebas kedua.

Dia mendahului 0.069s di depan juara lima kali GP Britain, Hamilton, sementara pemandu Ferrari, Charles Leclerc dan Sebastian Vettel, masing-masing di tempat ketiga dan keempat.

Bagaimanapun, bukan semua yang dirancang Bottas berjalan lancar dalam sesi kedua itu berikutan jenteranya bermasalah.

Dia kembali menyambung aksi di litar selepas itu sambil mengesahkan tidak berdepan masalah besar.

Pemandu Red Bull, Pierre Gasly, muncul pemandu terpantas dalam sesi ujian bebas pertama dan kekal kompetitif pada sebelah petang apabila menjadi pemandu kelima terpantas di depan wakil McLaren, Lando Norris.

Rakan sepasukan Gasly, Max Verstappen, yang kali terakhir melakar kemenangan di Austria, menduduki tempat ketujuh dalam sesi kedua selepas menduduki tempat ketiga dalam sesi pembukaan.

Verstappen berkata: "Daripada sudut saya, ia tidak begitu baik dan saya tidak mendapat keseimbangan yang baik dengan kereta dalam sesi pertama dan kedua. Kereta saya ditiup angin dan saya berjuang untuk mendapatkan cengkaman di bahagian belakang, jadi kami ada sedikit tugas untuk dilakukan.

"Walaupun kedudukan saya tidaklah selesa sepenuhnya, namun kami tidak jauh ketinggalan sementara catatan yang sengit adalah sesuatu yang positif.

"Pemandu amat menggemari cengkaman tayar di litar yang baru diturap ini. Secara umumnya, permukaan litar yang baru adalah perubahan yang baik tetapi terdapat beberapa bahagian yang cukup bergelora di luar sana, terutama ketika memasuki selekoh keenam dan sembilan.

"Ia tidak begitu mudah untuk tayar mengendalikannya dalam kelajuan tinggi, jadi ia sesuatu yang menarik untuk melihat apa pilihan tayar pemandu hari ini dan dalam perlumbaan sebenar esok.

"Catatan kami agak dekat dengan Mercedes dan Ferrari, jadi hujung minggu ini menjanjikan potensi yang besar."

Sementara itu, muka Romain Grosjean merah padam ekoran kemalangan aneh di selekoh pertama.

Pelumba Perancis berusia 33 tahun itu memiliki pengalaman dalam 150 perlumbaan GP, namun terlanggar hadangan hingga keretanya berpusing selain sayap depannya tercabut ketika dalam perjalanan keluar dari hentian pit.

Keretanya berpusing di selekoh Brooklands dan mengalami kebocoran di bahagian hidraulik, namun masih dapat meneruskan aksi dengan memasuki bengkel dalam sesi latihan bebas kedua.