Valtteri Bottas dipisahkan 0.006 saat dengan Lewis Hamilton untuk meraih petak utama Kejohanan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Britain dengan dramatik, malam tadi.

Duo Mercedes itu bersaing hebat selepas melalui prestasi buruk di Austria sebelum menjamin kedudukan depan menjelang perlumbaan sebenar di Litar Silverstone malam ini, dengan Bottas dan pemandu harapan kepada peminat tuan rumah itu hanya dipisahkan dengan jurang yang kecil.

Charles Leclerc pula hampir menetapkan diri di kedudukan utama dalam sesi kelayakan ketiga yang berlansung sengit itu tetapi terpaksa berpuas hati di belakang Bottas selepas ketinggalan hanya 0.079s.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen dan Pierre Gasly, masing-masing bermula di tempat keempat dan kelima lalu meninggalkan Sebastian Vettel untuk berpuas hati di tempat keenam.

Daniel Ricciardo, Lando Norris, Alexander Albon dan Nico Hulkenberg turut menempatkan diri dalam kelompok 10 pelumba terbaik.

"Ia langkah yang bagus, ia mengingatkan anda mengapa anda melakukannya," kata Bottas, yang menghambat Hamilton dengan jurang 31 mata untuk gelaran pemandu.

"Ia aksi sengit dengan Lewis sepanjang hujung minggu -- ia pencapaian yang menarik untuk membuat pusingan yang baik dan berjaya merebut petak utama."

Bottas mempamerkan pemanduan terbaiknya kelmarin, namun Hamilton dan Leclerc menduduki tangga teratas dalam pusingan kelayakan pertama (Q1) dan kedua (Q2), semalam.

Pemandu kelahiran Finland itu dengan selesa mengetuai pelumba-pelumba lain dalam sesi pertama Q3 dengan merakam 1 minit 25.093 saat, sekali gus melonjakkannya di depan Hamilton, namun perlu menantikan penuh debaran keputusan penuh berikutan gagal memperbaiki catatannya dalam percubaan kedua Q3.

Hamilton, yang memburu gelaran pemandu dunia buat kali keenam, beraksi lebih baik daripada yang dilakukannya pada awal sesi tetapi masih belum cukup untuk mengatasi Bottas.

Leclerc kelihatan berpeluang untuk merebut petak utama tetapi kedudukan bintang Ferrari itu juga diputuskan dengan catatan tipis sambil melabel pasukan radionya telah membuat kesilapan di selekoh terakhir.

Vettel berada di petak keenam selepas sesi pembukaan Q3, namun gagal memperbaiki catatan awalnya tatkala dia terus bergelut bersaing dengan Leclerc untuk berakhir 0.694 saat di belakang Bottas.

Keputusan sesi kelayakan

1. Valtteri Bottas (Mercedes) 1:25.093
2. Lewis Hamilton (Mercedes) +0.006s
3. Charles Leclerc (Ferrari) +0.079s
4. Max Verstappen (Red Bull) +0.183s
5. Pierre Gasly (Red Bull) +0.497s
6. Sebastian Vettel (Ferrari) +0.694s
7. Daniel Ricciardo (Renault) +1.089s
8. Lando Norris (McLaren) +1.131s
9. Alexander Albon (Toro Rosso) +1.252s
10. Nico Hulkenberg (Renault) +1.293s