Valtteri Bottas berasakan dia mempamerkan "perlumbaan terbaik" ketika memulakan musim Formula Satu (F1) 2019 dengan kemenangan dalam Grand Prix (GP) Australia, sebentar tadi.

Pemandu Mercedes itu menjarakkan diri dengan cemerlang untuk memintas rakan sepasukannya, Lewis Hamilton, bagi mendahului perlumbaan sejak pusingan pertama, seterusnya mengekalkan rentaknya itu sehingga garisan penamat.

Ia kemenangan pertama pemandu kelahiran Finland itu selepas 22 perlumbaan yang menyaksikan kejayaan terakhir yang dilakarnya adalah dalam GP Abu Dhabi 2017.

"Saya membuat permulaan yang sangat hebat, inilah perlumbaan terbaik saya," kata Bottas yang meraih 26 mata maksimum berikutan bonus mata pusingan terpantas.

"Saya hanya berasa selesa, semuanya berada di bawah kawalan dan kereta saya dalam keadaan baik hari ini.

"Ia membuatkan saya mahu memecut laju untuk meraih bonus mata pusingan terpantas. Ia sentiasa akan wujud sedikit risiko dengan tayar tetapi ia berbaloi.

"Saya sangat gembira dan tidak sabar-sabar lagi menantikan perlumbaan seterusnya."

Ketika ditemui di podium, Bottas menambah: "Pada mulanya, ia semua tentang cara mengatur perlumbaan ini dan cuba menjarakkan diri dan saya berjaya melakukannya dalam tujuh pusingan.

"Saya tahu saya mampu melakukannya. Saya pernah melakukannya sebelum ini, semuanya berada pada tahap terbaik.

"Yang keduanya adalah naluri. Apabila anda benar-benar berasakannya, ia menjadi lebih mudah!"

Hamilton kelihatan bergelut dengan tayar 'compound' sederhana dan berhempas-pulas menghalang Max Verstappen daripada merebut tempat kedua, namun dia menjelaskan bahawa pemandu Red Bull itu langsung tidak mencetuskan masalah buatnya.

Juara bertahan itu gembira berikutan Mercedes meraih kedudukan 1-2 sambil mendedahkan punca dia gagal bersaing dengan Bottas.

"Ini hujung minggu yang baik buat pasukan, jadi saya perlu gembira dengan semua orang. Ia satu tugas yang hebat daripada semua orang," kata Hamilton.

"Valtteri mempamerkan pemanduan yang luar biasa hari ini, oleh itu dia memang berhak dan kami sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Ia adalah satu perlumbaan yang hebat untuk tahun ini, lebih daripada yang kami harapkan.

"Saya mempunyai beberapa idea (tentang jentera yang kurang daya pecutan) tetapi saya akan duduk berbincang dengan barisan jurutera untuk menanganinya.

"Ia sesuatu yang mengecewakan apabila anda mempunyai hujung minggu yang baik tetapi apabila tiba detik penting, ia tidak menjadi dan saya akan bekerja keras untuk memperbaikinya pada masa depan."

Keputusan akhir:

1. Valtteri Bottas (Mercedes)
2. Lewis Hamilton (Mercedes) +20.886s
3. Max Verstappen (Red Bull) +22.520s
4. Sebastian Vettel (Ferrari) +57.109s
5. Charles Leclerc (Ferrari) +58.230s
6. Kevin Magnussen (Haas) +87.156s
7. Nico Hulkenberg (Renault) +1 Pusingan
8. Kimi Raikkonen (Alfa Romeo) +1 Pusingan
9. Lance Stroll (Racing Point) +1 Pusingan
10. Daniil Kvyat (Toro Rosso) +1 Pusingan

Kedudukan pemandu:

1. Valtteri Bottas (Mercedes) 26
2. Lewis Hamilton (Mercedes) 18 (-8)
3. Max Verstappen (Red Bull) 15 (-11)
4. Sebastian Vettel (Ferrari) 12 (-14)
5. Charles Leclerc (Ferrari) 10 (-16)

Kedudukan Pengeluar:

1. Mercedes 44
2. Ferrari 22 (-22)
3. Red Bull 15 (-29)
4. Haas 8 (-36)
5. Renault 6 (-38)