Lewis Hamilton berkata ia adalah "kejutan besar" untuk menyaksikan Mercedes mendominasi sesi kelayakan perlumbaan Formula Satu Grand Prix (GP) Australia selepas dia meraih petak hadapan di depan rakan sepasukan, Valtteri Bottas, hari ini.

Hamilton mencatat masa satu minit 20.486 saat untuk meraih kedudukan utama di Albert Park itu buat kali keenam berturut-turut.

Juara dunia itu turut menyamai rekod yang dipegang Ayrton Senna dan Michael Schumacher bagi kedudukan utama di satu litar.

Sehubungan itu, dia bakal memulakan perlumbaan di petak utama buat kali kelapan dalam aksi pembukaan musim.

Hamilton mendahului Bottas dengan 0.112 saat sementara meninggalkan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel, yang menduduki tempat ketiga dengan jurang 0.704s.

Hamilton nyata terkejut dengan perbezaan yang dipamerkan di antara pasukan yang diberi jolokan Silver Arrows itu dengan seteru, Ferrari.

"Saya tidak mengharapkan jurang prestasi. Ini merupakan sesuatu yang benar-benar mengejutkan," katanya.

Tambah Hamilton: "Semalam, Ferrari memberi saingan hebat kepada kami. Kami mengangkut bahan bakar yang lebih berat dan sebaik ia mula berkurangan, prestasi kami hampir sama.

"Tetapi secara tiba-tiba, Ferarri kehilangan rentak pada hari ini. Ia bukan seperti yang saya jangkakan.

"Ini sebuah litar yang sukar dan berdebu, beberapa faktor mungkin telah menyebabkan jentera mereka menjadi perlahan. Saya bersyukur kerana kenderaan kami (tidak menghadapi masalah) dan saya tahu Ferrari akan memberikan saingan sengit dan akan bangkit pada masa akan datang."

Dengan rekod Hamilton yang sekadar menang sekali dalam lima perlumbaan terakhirnya ketika bermula di petak utama di Australia, justeru harapan Vettel untuk mempertahankan kemenangannya musim lalu masih lagi bernyala.

Kedudukan 10 terbaik:

1. Lewis Hamilton (Mercedes) 1:20.486 saat
2. Valtteri Bottas (Mercedes) +0.112s
3. Sebastian Vettel (Ferrari) +0.704s
4. Max Verstappen (Red Bull) +0.834s
5. Charles Leclerc (Ferrari) +0.956s
6. Romain Grosjean (Haas) +1.340s
7. Kevin Magnussen (Haas) +1.613s
8. Lando Norris (McLaren) +1.818s
9. Kimi Raikkonen (Alfa Romeo) +1.828s
10. Sergio Perez (Racing Point) +2.295s