Hampir menuju pengakhiran musim Formula 4 (F4) tahun ini, pelumba negara, Muizz Musyaffa, mengidamkan pentas Formula 3 (F3) musim depan apabila menyedari sudah terlalu lama berada dalam kancah berkenaan.

Muizz atau lebih dikenali sebagai 'Roket Malaysia' itu akhirnya meraih kemenangan pertama dalam Kejohanan Asia Tenggara (SEA) F4, minggu lalu.

Setelah tiga tahun dalam kancah itu, musim lalu dia memenangi tiga perlumbaan selain satu gelaran pada 2017.

Bagaimanapun, pelumba berusia 17 tahun itu kini meletakkan sasaran lebih tinggi musim depan dengan memasang impian untuk beralih ke pentas F3 walaupun faktor bajet mungkin menjadi penghalang.

"Saya agak bergelut untuk memahami jentera dalam perlumbaan sebelum ini selain berdepan pesaing-pesaing yang kompetitif.

"Bagi saya, ia pencapaian yang baik walaupun bukanlah terlalu hebat.

"Saya berharap mampu menang dalam setiap perlumbaan tetapi perlu bekerja keras lagi.

"Oleh kerana sudah lama dalam kancah F4, saya berharap dapat beralih ke F3 pula," katanya di Hotel PJ Hilton, Petaling Jaya, sebentar tadi.

Musim ini, pelumba kelahiran Kuantan, Pahang itu menyertai 28 perlumbaan dan berjaya menaiki lima podium serta mencatat tiga pusingan terpantas sepanjang kejohanan itu.