Fernando Alonso melabel Formula Satu (F1) "terlalu menyedihkan" selepas mengumumkan bahawa dia tidak akan memandu dalam kejohanan itu tahun depan.

Selasa lalu, Alonso mengesahkan bahawa dia akan meninggalkan McLaren pada akhir musim ini dan tidak bercadang untuk mewakili mana-mana pasukan.

Pemandu berusia 37 tahun itu menempuhi kerjaya gemilang dalam F1 dengan memenangi gelaran pemandu dua tahun berturut-turut pada 2005 dan 2006 bersama Renault untuk muncul juara paling muda.

Alonso, yang kini bersaing dalam sukan itu dalam musim ke-17, telah memenangi 32 perlumbaan di samping mengumpul 22 kedudukan utama dan menaiki podium sebanyak 97 kali.

Begitupun, semalam, pemandu dari Sepanyol itu tidak berselindung mengenai alasan di balik keputusannya untuk memberi tumpuan kepada peluang lain sambil mendedahkan bahawa dia mampu mendapatkan "lebih banyak kebahagiaan" di tempat lain.

"Ia kejohanan yang mempunyai beberapa perkara positif dan saya telah menikmati situasi itu selama 17 atau 18 tahun dalam hidup saya," kata Alonso.

"Saya mencapai kejayaan lebih banyak daripada apa yang saya impikan ketika saya bermula pada 2001. Tapi, tindakan yang saya ambil sekarang bukanlah apa yang saya impikan ketika saya menyertai F1.

"Kebanyakan pengumuman saya didorong oleh kesedihan atau ketika meratapi kekecewaan berikutan gagal meraih keputusan membanggakan dalam beberapa tahun terakhir.

"Saya telah berlumba selama 18 tahun dalam kancah F1, saya menang dua gelaran. Boleh dikatakan selama 16 tahun, saya dilanda kekecewaan tetapi itu bukanlah soalnya ketika ini.

"Saya bersara kerana aksi di atas trek yang saya anggap amat menyedihkan.

"Malah, kita lebih banyak bercakap tentang apa yang berlaku di luar trek. Kita bercakap mengenai polemik, mesej di radio dan seumpamanya. Apabila kita berulang kali bercakap tentang perkara-perkara seperti itu, ia adalah petanda yang tidak baik.

"Ini kerana aksi di atas trek sangat buruk pada hujung minggu," katanya.

Memperluaskan penilaiannya dengan jelas tentang situasi F1, Alonso meneruskan: "Sudah tentu sukar untuk meramalkan apa yang akan berlaku di Spa atau Monza. Sekarang anda boleh menulis apa yang akan berlaku di Spa dan Monza.

"Kami boleh meramalkan 15 kedudukan pertama dengan mungkin membuat satu atau dua kesilapan.

"Semua ramalan itu menyulitkan keadaan. Kami pergi ke Barcelona, ​​kami mengadakan ujian pertama pada musim sejuk dan anda tahu apa yang akan anda lakukan sehingga November di Abu Dhabi. Ia sesuatu yang sukar.

"Itulah yang saya rasakan dalam F1 ketika ini dan saya fikir terdapat kejohanan lain yang mungkin menawarkan tindakan yang lebih baik, lebih banyak kegembiraan dan lebih banyak kebahagiaan."

Alonso tidak menawarkan perancangan konkrit terhadap kerjayanya selepas F1 dengan menyatakan bahawa dia tidak akan terburu-buru untuk membuat pengumuman biarpun dia tidak menolak akan kembali pada masa depan.

"Saya membiarkan pintu terbuka luas kerana saya berlumba di peringkat terbaik dalam kerjaya saya," katanya. "Kenapa harus menutup pintu jika apa jua boleh berlaku pada masa depan?

"Saya masih muda, saya bukannya berumur 45 tahun. Saya masih berasa kuat dan sedang mengikuti 27 perlumbaan musim ini.

"Saya mahu bersara dan itulah sebabnya saya bersara tetapi siapa tahu (mengenai masa depan)? Saya mempunyai cabaran lain daripada apa yang boleh ditawarkan oleh F1 ketika ini.

"Saya tidak akan membuat keputusan atau bersedia untuk mengesahkan apa-apa lagi sehinggalah beberapa bulan akan datang, mungkin pada Oktober nanti atau sesuatu seperti itu. Ia akan menjadi penantian yang lama dan banyak ramalan."