Juara kelas perdana CP130 2014, Md Zaqhwan Zaidi, yang juga juara Asia kategori SuperSports 600cc musim 2014 dan 2016, sudah bersedia untuk kembali mewarnai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS musim 2019 yang akan membuka tirai di Jasin, Melaka, hujung minggu ini.

Nama Zaqhwan berada dalam senarai pelumba CP150 pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing musim 2019 setelah tidak beraksi musim lalu apabila membuat keputusan untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dan Kejuaraan Seluruh Jepun.

Pelumba berusia 24 tahun itu akan bergandingan dengan pelumba muda meningkat naik, Azroy Hakeem Anuar, dan juara WIRA 2015, Harith Farhan Baharin.

“Saya sudah bersedia dan tidak sabar untuk kembali ke litar Cub Prix. Banyak yang saya rindui di sini,” ujar Zaqhwan.

“Sepatutnya penghujung tahun lalu lagi saya sudah beraksi tetapi tangan saya mengalami kecederaan setelah terjatuh di Jepun dan juga pusingan terakhir ARRC di Thailand. Tangan saya sudah hampir pulih sepenuhnya, jadi saya berharap dapat memberi aksi terbaik di Jasin nanti.

“Cuma mungkin saya perlu sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan jentera RS150R ini dan juga keadaan litar Cub Prix yang cukup teknikal. Hasil ketika sesi ujian dan latihan sebelum ini juga agak positif. Kami tunggu sahaja perlumbaan sebenar."

Untuk rekod, Zaqhwan dan Azroy merupakan dua pelumba yang berjaya menghadiahkan podium buat kem Honda sejak saingan CP150 diperkenalkan pada musim 2017.

Zaqhwan muncul pemenang tempat ketiga sewaktu pusingan pembukaan musim 2017 di Temerloh manakala Azroy menaiki podium di tempat ketiga pada pusingan kesembilan di Jempol, Negeri Sembilan musim lalu.